Peranan Al - Quran dalam Hidup Berkeluarga
Al Quran adalah Kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang mengandungi petunjuk menerangi jalan-jalan kehidupan dan membimbing seseorang insan kepada jalan yang lurus. Seseorang muslim itu tidak dibiarkan hidup di dunia begitu sahaja melainkan Allah swt telah menyediakan panduan lengkap kepada setiap hal yang berkaitan dengan kehidupan dan ianya sesuai di sepanjang masa dan tempat.
Al-Quran adalah wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah SAW, ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini, manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah SWT.
Petunjuk pada manusia
Tujuan utama Al-Quran diturunkan adalah sebagai petunjuk dan hidayah bagi seluruh umat manusia. Kita perlu selalu meneliti hubungan kita dengan Al-Quran. Apakah kita merujuk kepada Al-Quran dalam mencari panduan dan hidayah Allah mengharungi kehidupan kita.
Hidayah merupakan bimbingan hati dari Allah swt dalam membuat sesuatu keputusan. Islam mengajar manusia untuk membuat keputusan yang betul dan mestilah keputusan itu adalah kerana mencari redha oleh Allah swt. Justeru jika berpegang kepada Al-Quran ia akan membawa kepada hidayah petunjuk jalan yang benar dalam apa jua perkara dalam kehidupan.
Dalam konteks rumahtangga contohnya, urusan mencari pasangan tentunya memerlukan kriteria tertentu calon yang bagaimana yang perlu dicari, seterusnya dalam urusan pergaulan keluarga; bagaimana cara hidup dengan baik antara suami isteri, ibu bapa dan anak, begitu juga dalam urusan ekonomi pula bagaimanakah jual beli yang diterima dan diberkati, mengelakkan riba dan makan harta dengan cara batil, semuanya ada panduannya di dalam Al-Quran.
Sebagai ibu bapa, kita semua mahu anak-anak berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Sebagai ibu bapa kita mahu anak-anak yang baik peribadinya, ibadatnya, akhlaknya dan bijak bergaul dengan orang lain selain Berjaya didunia dan dia akhirat. Semua harapan dan impian ini tersimpan dalam penghayatan dan pengamalam al-Quran yang dibiasakan dalam rumahtangga. Bukalah al-Quran tentunya akan ada panduan untuk setiap persoalan dalam kehidupan kita.
Al-Quran juga menjadi sumber pengubat keresahan jiwa dan menjawab keresahan hati seseorang. Dalam keadaan dirundung kebingungan dan kesusahan hati atas sesuatu permasalahan, bukalah al-Quran dan telitilah makna dan terjemahan Al-Quran, tentunya Allah SWT akan memberi hidayah kepada mereka yang ikhlas mencari kebenaran, seolah-olah Allah SWT bercakap secara langsung kepada kita.
Oleh itu, khususkanlah masa untuk membaca Al-Quran bersama keluarga. Jangan biarkan anak-anak dan keluarga kita jauh daripada kitab suci ini kerana ia sumber keberkatan sesebuah rumah.
Selami dan cubalah memahami kisah-kisah yang ada di dalamnya, dan ayat-ayat yang ditujukan kepada manusia dalam menangani sesuatu permasalahan yang melanda diri, keluarga dan masyarakat sekeliling kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan