Isnin, 20 Februari 2023

 



KITAB SUCI AL - QURAN

adalah sumber rujukan terbaik untuk segala penyelesaian masalah, isu dan krisis. Bukan hanya untuk umat Islam, tetapi untuk sekalian manusia.

Sebagai manusia biasa yang serba kekurangan, sudah tentu tidak semua yang kita lakukan sentiasa berada dalam keadaan sempurna. Hakikat ini kita perlu akui tanpa mengira siapa dan di mana kita berada.

Berdasarkan faktor itu, al-Quran menyediakan pelbagai formula penyelesaian dan juga prinsip tertentu untuk dijadikan asas rujukan mengikut jenis isu dan masalah yang timbul sama ada berkaitan dengan ibadah, sosial, ekonomi, politik dan perhubungan.

Begitu halnya jika berlaku perselisihan pendapat, permusuhan, pergaduhan hatta peperangan sekali pun antara sesama umat, al-Quran ada menyediakan formula bagi menghadapinya dan ada prinsip tertentu yang perlu dipegang.

Dalam lipatan sejarah Islam segala perkara disebutkan boleh dikatakan berlaku sepanjang zaman sehingga wujud pelbagai puak, malah ada yang membawa kepada pembunuhan sesama sendiri.

Ia wujud sejak zaman Khulafa al-Rasyidin, Umaiyah, Abassiah dan zaman alaf baru. Kebanyakannya boleh dikatakan berkaitan merebut kuasa pemerintahan dan menterjemahkan hukum agama .

Dari segi politik ada pihak yang sanggup melanggar peraturan ditetapkan syariat dan hukum agama seperti ada pihak yang sanggup membuat fitnah dan adu domba, bahkan ada yang sanggup membunuh dan berperang sesama sendiri.

Ada juga sesetengahnya sanggup mengkafirkan pihak lain semata-mata kerana mengejar takhta kekuasaan.

Inilah antara penyakit yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan ia seolah-olah tiada ubat atau jalan penyelesaian.

Pergolakan sesama sendiri

Ini terbukti dengan misalnya beberapa negara di rantau Asia Barat, sejak sekian lama terus berada dalam kancah pergolakan, perselisihan faham, pergaduhan dan seterusnya berperang sesama sendiri, sedangkan jalan penyelesaian sudah lama disebut dalam al-Quran. 

Dalam Surah al-Hujuraat, ayat 6, misalnya, banyak ayat yang boleh dijadikan panduan dalam konteks mewujudkan perhubungan harmoni antara satu sama lain, sama ada antara sesama Islam atau sesama manusia secara amnya.

Antaranya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya - sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan."

Firman Allah SWT lagi dalam surah sama, ayat 10, yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Dalam surah itu juga Allah SWT turut berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah berdosa dan janganlah kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah kamu setengahnya mengumpat akan setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya, (oleh itu patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat lagi amat mengasihani.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)". (Surah al Hujuraat, ayat 12 hingga 13)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 Intipati tentang keluarga Dalam membina sesebuah institusi kekeluargaan yang baik dan menuju sempurna kita seharusnya mempunyai dua model. ...